CERITA 27: Analisis Faktor Penjelajahan (Exploratory Factor Analysis)- EFA
Assalamualaikum, apa khabar semua pembaca, salam PKP 2.0. Sama-sama kita berdoa agar wabak Covid-19 segera berakhir.
Kali ni saya nak sambung cerita pasal Analisis Faktor Penjelajahan (Exploratory Factor Analysis)- EFA. Ada yang dalam BM ditulis Analisis Faktor Penerokaan.
Entry sebelum ini saya pernah berkongsi berkenaan kaedah putaran dalam EFA. Boleh rujuk balik di SINI.
Hari ni saya nak sambung lagi cerita pasal article yang saya baca ini ditulis oleh Yong (2013). Kalau rajin boleh baca. Cuma nak ringkaskan beberapa penemuan:
Selepas kita buat rotated component matrix, dan lihat keputusan tersebut, jika ada 2 item sahaja dalam 1 faktor, berikut pandangan dalam artikel ini:
- Sesuatu faktor itu boleh dikatakan sebagai faktor sekiranya ia mempunyai sekurang-kurangnya tiga item (Tabahnick & Fidell, 2007)
- Secara umumnya, faktor terputar yang mempunyai dua item atau kurang perlu diterjemahkan dengan lebih berhati-hati.
- Faktor yang mempunyai dua item di dalamnya dikatakan boleh dipercayai sekiranya ia berkorelasi tinggi antara satu sama lain (r > 0.70) dan berkorelasi sederhana dengan item yang lain (Yong, 2013).
Jadi maksudnya, kalau syarat ke-3 tu tak penuhi, bolehlah kita pertimbangkan untuk gugurkan kedua-dua item tu.
Nilai komunaliti (communalities)
Nilai communalities item juga harus kita pertimbangkan. Pemboleh ubah/ item dengan nilai communalities yang rendah (< 0.20) seharusnya digugurkan (Child, 2006).
Pengekstrakan faktor
Ada beberapa kaedah, tetapi 3 kaedah yang biasa digunakan adalah:
1) Maximum likelihood (kebolehjadian maksimum) : lebih berguna untuk analisis faktor pengesahan (CFA) dan digunakan untuk menganggar pemberat faktor untuk populasi.
2) Principal Axis Factor : dengan kefahaman bahawa kesemua pemboleh ubah berada pada faktor pertama. Apabila faktor diekstrak, matriks ralat diukur. Faktor kemudiannya diekstrak secara berterusan sehingga terdapat sejumlah besar varians yang dikira dalam matriks korelasi (Tucker & MacCallum, 1997). Kaedah ini lebih sesuai sekiranya data tidak mengikuti andaian taburan multivariat normal (multivariate normality assumption)
3) Principal component : Merupakan teknik pengurangan data. Kaedah ini digunakan untuk mengekstrak varians maksimum daripada data daripada setiap komponen, maka ia mengurangkan sejumlah besar pemboleh ubah kepada komponen yang lebih kecil (Tabachnick & Fidell, 2007).
Ok, sampai di sini dahulu. Sebenarnya banyak nak cerita pasal EFA ni lagi, tp tunggu ada kesempatan saya update lagi.
Semoga bermanfaat. Terima kasih.
Rujukan:
Tabachnick, B. G., & Fidell, L. S. (2007). Using multivariate statistics (5th ed.). Boston, MA: Allyn & Bacon.
Tucker, L.R., & MacCallum, R.C. (1997). Exploratory factor analysis. Retrieved March 27, 2012 from http://www.unc.edu/~rcm/book/ch7.pdf
Yong AG, Pearce S. A beginner’s guide to factor analysis: focusing on exploratory factor analysis. Tutorials in Quantitative Methods for Psychology 2013; 9(2):79–94